Sabtu, 30 Mei 2009

Berandoi

Sebenarnya berandoi ini adalah juga dipanggil naik buaian. Namun ianya disekalikan dengan upacara wajib yang dituntut oleh ugama Islam. Tiga perkara dituntut oleh Tuhan apabila lahirnya seseorang bayi itu.

Pertamanya memberi nama, mencukur rambutnya dan mengorbankan saekor kambing untuknya atau dipanggil akikah. Maka dalam bulan pertama lepas kelahiranku diadakan lah upacara tersebut bagi diriku. Orang kampung memanggilnya 'kekah dan potong jambul' sahaja.

Sabtu, 16 Mei 2009

Tanam Temuni

Mengikut kepercayaan orang orang kampung bahawa penanam temuni seseorang bayi itu perlulah dari orang yang terbilang jugak di kampung itu. Kononnya perwatakan orang itu akan tumpah kepada bayi itu apabila ia dewasa kelak. Begitulah aku!

Pak Jaman ialah jiranku. Dia terbilang kegagahannya serta kerajinan yang tidak tolok bandingnya di kampung aku. Memang pun ibu dan bapaku telah bercadang untuk mengambil dia sebagai penanam temuniku apabila aku lahir nanti. Maka lahirlah aku dan sempurnalah penanaman temuni aku oleh Pak Jaman.

Kemudiannya bila aku membesar, banyak jugalah perangai dan perwatakkanku menyerupai Pak Jaman. Ini sudah diduga samasekali oleh ibu-bapaku dan itulah pun yang mereka mahukan. Pak Jaman memang termashor di kampung aku dan mendapat tempias cara hidupnya pun adalah satu penganugerahan bagiku.

Gitulah cara hidup masa dulu. Kini semua itu adalah bidaah semata mata.

Jumaat, 8 Mei 2009

Kelahiranku

Aku dilahirkan dirumahku. Anak ketiga pun. Bidan yang bertanggung jawab membantu ibuku untuk melahirkan aku kedunia ini ialah Bidan Sombong. Rumah diapun tak berapa jauh dari rumahku. Maka senanglah bapaku memanggilnya bila sampai masa 'emergency' untuk membantu ibuku melahirkan aku ke dunia ini.

Aku lahir hari Rabu jam 0500 pagi. Sudah pastilah, Mak Bidan memang datang beberapa jam lebih awal dari itu. Uwanku pun memang sudah ada bertandang kat rumah, memang sudah bersedia atau kebetulan, entah lah! Memendekkan cerita, lahirlah aku kedunia ini dengan tangisan yang kuat dan bergema dirumah bapaku.

Aku membesar dengan penuh belaian dan kasih sayang orang2 disekelilingku. Aku dilampin iaitu menggunakan kain batik ibuku yang sudah lama dan kian reput, dan dibalut perutku dengan 'barut' yang khas diperbuat oleh ibu. Aku disusukan dengan susu ibu kurang hampir dua tahun lamanya dan bila hampir enam bula aku diberi makan 'pisang-bakar' dilenyek dengan nasik supaya dapat bekalan yang lagi bertenaga dan juga mengurangkan beban ibu mengeluarkan susunya lebih banyak.

Maka aku kian membesar hingga pandai meniarap, merangkak, berdiri, berjalan takteh dan seterusnya berjalan dengan sendirinya. Jalanlah aku untuk menuju hidup yang akan mewarnakan hidupku dengan penuh kewarna-warnian.

Sinopsis

Hidup di kampung adalah bethemakan tentang cara-cara hidup dikampung. Ini merangkumi tradisi; pengalaman turun temurun, cara pergaualan sosial, menggunakan segala input yang terhad dan juga cara mana hidup yang serba kekurangan itu boleh digembelingkan untuk tahap yang sebaik baiknya. Semuanya ini adalah bermatlamat untuk hidup dan cara mana penghidupan itu perlu diteruskan.

Semoga pembaca yang budiman boleh menokok menambah bagi memberi gambaran yang amat realiti tentang perjuangan orang2 kampung untuk hidup.